Dari kiri: YBhg Dato’ Alex Lye, Presiden IAATI, YBrs Tuan Norazman Nordin, Ketua Penolong Pegawai Kanan Penguatkuasaan Dasar JPJ dan YBrs Puan Mas Tina Abdul Hamid, Ko-ordinator VTAREC.
KUALA LUMPUR, 13 Januari 2026: Vehicle Theft and Accident Reduction Council of Malaysia (VTAREC) dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dan International Association of Auto Theft Investigators (IAATI) telah menganjurkan sesi Facebook Live selama 30 minit bagi membincangkan isu kecurian kenderaan, khususnya langkah pencegahan melalui penggunaan sistem ‘immobilizer’. Inisiatif ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan VTAREC dalam meningkatkan kesedaran awam serta mengurangkan kes kecurian kenderaan dalam kalangan rakyat Malaysia.
VTAREC FB Live 30 Minit bertajuk ”Kepentingan ‘Immobilizer’ dalam Mencegah Kecurian Kenderaan”.
Sesi yang bertemakan “Kepentingan Memiliki ‘Immobilizer’ untuk Semua Kenderaan di Malaysia” itu menampilkan perbincangan mendalam mengenai fungsi, kepentingan serta implikasi keselamatan dan kewangan berkaitan pemasangan peranti tersebut. Sesi perbincangan ini telah dihoskan oleh VTAREC melalui platform Facebook Live, dengan tujuan memberi pendedahan kepada orang ramai tentang teknologi ‘immobilizer’ serta manfaatnya dalam melindungi kenderaan daripada kecurian.
Barisan ahli panel terdiri daripada pakar yang berpengalaman dalam membincangkan isu risiko dan langkah-langkah pengurangan kecurian kenderaan. Panelis pertama, YBrs Tuan Norazman Nordin, Ketua Penolong Pegawai Kanan Penguatkuasaan Dasar JPJ, menghuraikan aspek perundangan berkaitan kes kecurian kenderaan di Malaysia. Panelis kedua, YBhg Dato’ Alex Lye, Presiden IAATI, berkongsi perspektif antarabangsa mengenai usaha pencegahan kecurian kenderaan. Sesi ini dikendalikan oleh YBrs Puan Mas Tina Abdul Hamid, Ko-ordinator VTAREC, yang turut berkongsi inisiatif dan pengalaman organisasi dalam mendidik masyarakat.
YBrs Tuan Norazman Nordin, Ketua Penolong Pegawai Kanan Dasar (JPJ) menjawab pertanyaan dari YBrs Puan Mas Tina Abdul Hamid, Ko-ordinator VTAREC.
Dalam usaha menangani masalah ini, YBrs Tuan Norazman menyatakan bahawa sistem ‘immobilizer’ ini adalah tidak mandatori untuk kelulusan pembuatan automobil. Namun begitu, ujar beliau, sudah banyak syarikat kenderaan terkemuka meletakkan sistem ‘immobilizer’ dalam pemasangan kenderaan. Tambah YBrs Tuan Norazman lagi, beliau menggalakkan penggunaan ‘immobilizer’ terutamanya bagi pengguna kenderaan di kawasan kediaman terbuka seperti flat dan apartment kerana kawasan tersebut lebih cenderung kepada kes kecurian kenderaan. Menurut beliau, buat masa ini pengguna kenderaan mempunyai pilihan untuk memasang ‘immobilizer’ pada kenderaan masing-masing kerana peralatan tersebut dijual di pasaran dan beliau sangat menyarankan pemasangan ‘immobilizer’ pada setiap kenderaan bagi mengelakkan risiko kecurian kenderaan.
YBhg Dato’ Alex Lye, Presiden IAATI, menjawab pertanyaan daripada YBrs Puan Mas Tina Abdul Hamid, Ko-ordinator VTAREC.
Sementara itu, YBhg Dato’ Alex menjelaskan bahawa penggunaan ‘immobilizer’ telah diperkenalkan sejak era 1990-an, khususnya di United Kingdom berikutan kadar kecurian kenderaan yang tinggi pada ketika itu. Berikutan itu, badan-badan insurans permotoran di UK telah mencadangkan satu sistem keselamatan kenderaan yang dinamakan ‘immobilizer’. Beliau menerangkan bahawa ‘immobilizer’ merupakan sistem keselamatan yang kebiasaannya dipasang di bawah stereng kenderaan dan ianya mengawal komponen penting seperti pencucuhan, pam bahan api dan motor penghidup, sekaligus menyukarkan usaha kecurian. Ujar beliau lagi, ‘immobilizer’ mempunyai dua kad dan dua kabel untuk mengunci sistem automasi pintu dan langkah ini dicipta untuk melengahkan tempoh kecurian kenderaan sehingga kira-kira 30 minit, berbanding kes kecurian yang boleh berlaku dalam tempoh kurang daripada satu minit tanpa perlindungan tersebut. Bagi pemasangan ‘immobilizer’ pula, YBhg Dato’ Alex memaklumkan bahawa kos pemasangan ‘immobilizer’ adalah berpatutan, iaitu sekitar RM650 hingga RM1,200 bergantung kepada spesifikasi. Selain itu, teknologi terkini turut membolehkan sistem ini diintegrasikan dalam kunci kenderaan.
YBrs Tuan Norazman Nordin, Ketua Penolong Pegawai Kanan Dasar JPJ, menerangkan kepentingan ‘immobilizer’ kepada YBrs Puan Mas Tina Abdul Hamid, Ko-ordinator VTAREC.
Dalam usaha memperkukuh inisiatif ini, YBrs Tuan Norazman tidak menolak kemungkinan bahawa pemasangan ‘immobilizer’ akan menjadi mandatori pada masa hadapan memandangkan kes kecurian kenderaan kini melibatkan pelbagai pihak dan ini secara tidak langsung akan merugikan pelbagai pihak.
Mengulas lanjut, YBrs Puan Mas Tina menyatakan bahawa bagi memantapkan lagi inisiatif ini, kesedaran pemilik kenderaan memainkan peranan penting dalam menangani isu ini. Beliau menegaskan bahawa pemasangan ‘immobilizer’ adalah langkah pencegahan awal yang sangat digalakkan dan berpotensi mengurangkan kadar kecurian kenderaan sehingga 80%, berdasarkan pengalaman negara-negara lain.
Dari kanan: YBrs Puan Mas Tina Abdul Hamid, Ko-ordinator VTAREC, Puan Izzah Mohammad bersama Encik Muhammad Hafiz Farhan Roni, Encik Wan Ahmad Lutfihadi Wan Nasri, Encik Mohd Afiq Sidqi Mohd Ramli, Puan Adilah Mohd Akhir, Encik Mohamad Amirun Mohamad Shamshuri, Mr Julian Lye dan ahli panel jemputan, YBhg Dato’ Alex Lye dari International Association of Auto Theft Investigators (IAATI) dan YBrs Tuan Norazman Nordin dari Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ).

