L15-11, Menara Sentral Vista 150, Jalan Sultan Abdul Samad 50470 Kuala Lumpur
+603-5613 6900 info@vtarec.my

JPJ, UiTM dan VTAREC dalam 30 Minit ‘VTAREC FB Live’ Kesedaran Kemalangan Jalan Raya Risiko Kepada Usia 16 Hingga 35 Tahun

Dari kiri: YBrs Tuan Norazman Nordin, Ketua Penolong Pegawai Penguatkuasa Kanan (Dasar), Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), YBrs Puan Mas Tina Abdul Hamid, Ko-ordinator, Vehicle Theft and Accident Reduction Council of Malaysia (VTAREC) dan YBhg Prof Madya Ts Dr Basharudin Abdul Hadi, Pensyarah Kanan, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

PUTRAJAYA, 16 Januari 2025:  Vehicle Theft and Accident Reduction Council of Malaysia (VTAREC) bersama Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkoloberasi bagi membincangkan isu kemalangan jalan raya berkaitan risiko kepada usia 16 hingga 35 tahun. Sesi FB Live yang berdurasi 30 minit dengan tema “Kemalangan Jalan Raya Risiko Usia 16-35 Tahun” ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mematuhi peraturan jalan raya dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina 2025, terutama bagi pengguna jalan raya dalam lingkungan umur 16 hingga 35 tahun.

Banner digital rasmi bagi sesi ‘VTAREC FB Live’ yang telah berlangsung pada Khamis, 16 Januari 2025.

 ‘VTAREC FB Live’ ini dihoskan oleh pihak VTAREC dan sesi diadakan dalam talian melalui aplikasi Facebook Live untuk membincangkan isu kemalangan jalan raya oleh pengguna muda. Selain daripada itu, tujuan sesi ini adalah untuk memberi pendedahan terkini berkenaan kepentingan mempuyai lesen kenderaan dan lindungan insurans serta kepentingan mematuhi undang undang jalan raya bagi mengelak kemalangan jalan raya.

Ahli panel dibarisi oleh pakar yang mahir dalam membincangkan isu risiko dan langkah pengurangan kemalangan jalan raya. Panelis yang pertama ialah YBrs Tuan Norazman Nordin, Ketua Penolong Pegawai Penguatkuasa Kanan (Dasar), Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ). Panelis yang kedua ialah YBrs Puan Mas Tina Abdul Hamid, Ko-ordinator, Vehicle Theft and Accident Reduction Council of Malaysia (VTAREC), manakala panelis ketiga ialah YBhg Prof Madya Ts Dr Basharudin Abdul Hadi, Pengarah Kanan, Universiti Tekonologi MARA (UiTM).

YBrs Puan Mas Tina Abdul Hamid, Ko-ordinator, Vehicle Theft and Accident Reduction Council of Malaysia (VTAREC), membuka sesi dengan menyampaikan mukadimah dan memperkenalkan barisan panelis.

 

Bagi meneruskan acara, YBrs Puan Mas Tina Abdul Hamid, Ko-ordinator Vehicle Theft and Accident Reduction Council of Malaysia (VTAREC), telah berkongsi data berkaitan kemalangan jalan raya yang diperoleh daripada pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ). Sebanyak 6,000 kematian telah dicatatkan pada tahun 2024 akibat kemalangan jalan raya, di mana 70% daripadanya melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal, dan dari jumlah penglibatan maut motosikal tersebut, bilangan besarnya adalah yang berumur antara 16 hingga 35 tahun. Jika disusun kubur-kubur mangsa maut kemalangan jalan raya tersebut ianya boleh memenuhi 6 buah padang bola. YBrs Puan Mas Tina Abdul Hamid juga menyatakan bahawa melalui analisa yang dijalankan oleh pihak VTAREC, didapati bahawa peratusan yang besar menunjukkan bahawa penunggang dan pembonceng motosikal ini tidak mempunyai lesen pengangkutan dan insurans kenderaan. Ianya satu dapatan yang mengejutkan dan serius kepada penunggang motosikal dan orang ramai.

YBrs Puan Mas Tina Abdul Hamid memberi ruang kepada panel yang pertama iaitu YBrs Tuan Norazman Nordin, Ketua Penolong Pegawai Penguatkuasa Kanan (Dasar), Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) untuk menerangkan kepentingan mempunyai insurans dan lesen kenderaan (road tax) oleh semua pengguna jalan raya terutama motorsikal. YBrs Tuan Norazman Nordin menjelaskan bahawa pemandu yang menggunakan jalan raya hendaklah memiliki lesen memandu seperti yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. Beliau turut menegaskan bahawa lesen memandu adalah perkara asas yang perlu diperoleh oleh pemandu untuk memastikan mereka layak memandu di jalan raya setelah lulus daripada proses pembelajaran memandu.

Berdasarkan statistik Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) 2024, 67% daripada 1,000,052 kes melibatkan pelbagai kesalahan pengguna jalan raya berusia antara 16 hingga 35 tahun, 26% daripada pelbagai kesalahan pengguna jalan raya didapati melibatkan individu yang tidak memiliki lesen memandu.

YBrs Tuan Norazman Nordin, Ketua Penolong Pegawai Penguatkuasa Kanan (Dasar), Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), menerangkan statistik kesalahan pengguna jalan raya pada tahun 2024.

 

Tambahan itu, YBrs Tuan Norazman Nordin menjelaskan lesen memandu bukanlah hak mutlak individu. Ia boleh digantung oleh pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) atau pihak mahkamah. Beliau juga menerangkan bahawa lesen memandu boleh digantung sekiranya pemandu gagal menjadi pengguna jalan raya yang berhemah, contohnya apabila jumlah dimerit melebihi 20 mata. Dalam situasi ini, lesen memandu akan digantung selama lapan (8) bulan. Jelas YBrs Tuan Norazman Nordin lagi, seiring dengan teknologi yang telah dinaik taraf, lesen kenderaan (road tax) yang diperbaharui secara tahunan juga akan disertakan sekali dengan lindungan insurans mengikut kelas kenderaan.

Hasil daripada operasi penguatkuasaan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), seperti saman atau sita kenderaan, juga dapat mengurangkan kemalangan jalan raya. Ini kerana pihak Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dapat mengenal pasti pemandu yang tidak mempunyai lesen memandu, lesen kenderaan dan insurans perlindungan. Insurans perlindungan adalah sangat penting untuk memberikan lindungan kepada pihak ketiga sekiranya kemalangan jalan raya berlaku.

YBrs Tuan Norazman Nordin, Ketua Penolong Pegawai Penguatkuasa Kanan (Dasar), Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) menerangkan berkaitan lesen memandu dan lesen kenderaan.

YBrs Puan Mas Tina Abdul Hamid meneruskan acara dengan mengajukan soalan kepada panel kedua, iaitu YBhg Prof Madya Ts Dr Basharudin Abdul Hadi, Pensyarah Kanan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), berkenaan kepentingan mematuhi undang-undang jalan raya dalam mengelakkan kemalangan jalan raya, terutama dalam kalangan pemandu dan penunggang berusia 16 hingga 35 tahun.

YBhg Prof Madya Ts Dr Basharudin Abdul Hadi menekankan bahawa terdapat banyak kesan buruk yang akan timbul sekiranya kemalangan jalan raya berlaku. Beliau menjelaskan bahawa sebagai salah seorang pensyarah universiti, kemalangan jalan raya memberikan impak kerugian yang sangat tinggi, terutama kepada pihak universiti. Kerugian ini melibatkan pelbagai kos seperti kos pembiayaan dan perubatan, khususnya kepada golongan pelajar.

Selain itu, dari segi kesan sosial, kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kehilangan nyawa akan menyebabkan peningkatan kadar kematian, seperti yang dinyatakan oleh YBrs Puan Mas Tina Abdul Hamid, iaitu 6,000 kematian pada tahun 2024.

Kehilangan nyawa ini memberikan impak trauma dan tekanan emosi kepada ahli keluarga serta rakan-rakan mangsa. Lebih membimbangkan, kesan ini boleh berpanjangan sehingga membawa kepada gangguan psikologi seperti tekanan emosi, depresi, dan lain-lain.  YBhg Prof Madya Ts Dr Basharudin Abdul Hadi turut berkongsi pengalaman salah seorang pelajarnya yang mengalami masalah depresi akibat kehilangan rakan baiknya dalam kemalangan jalan raya. Akibatnya, pelajar tersebut memilih untuk tidak meneruskan pelajaran, sekali gus menyumbang kepada penurunan jumlah graduan universiti dan kerugian kepada negara.

Seterusnya, beliau menjelaskan bahawa kemalangan jalan raya juga boleh menyebabkan masalah kewangan, terutamanya apabila kehilangan pencari nafkah utama dalam keluarga, seperti ayah atau ibu. Kesan lain adalah masalah kesihatan, di mana kecederaan kekal akibat kemalangan memerlukan rawatan jangka panjang seperti fisioterapi. Ini boleh menyebabkan lebihan kapasiti di hospital, yang turut menambah beban pada sistem kesihatan.

Selain itu, masalah infrastruktur juga merupakan kesan signifikan daripada kemalangan jalan raya. Sebagai contoh, kerosakan pada pembahagi jalan, pokok tumbang, tiang lampu yang jatuh, dan sebagainya. Kejadian ini memerlukan kos pembaikan yang tinggi. Masalah infrastruktur ini juga boleh membawa kepada kesan sampingan terhadap alam sekitar, seperti risiko tanah runtuh akibat pokok tumbang.

YBhg Prof Madya Ts Dr Basharudin Abdul Hadi, Pensyarah Kanan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerangkan kesan kemalangan jalan raya, terutama dalam kalangn pemandu dan penunggang berusia 16 hingga 35 tahun.

 

YBhg Prof Madya Ts Dr Basharudin Abdul Hadi turut menerangkan data dari United Kingdom (UK) yang diperoleh melalui laman sesawang. Menurut statistik tersebut, 53% penumpang di UK sentiasa memberikan kesedaran kepada pemandu semasa memandu bagi mengelakkan kemalangan jalan raya. Beliau turut menyeru agar ibu bapa memainkan peranan dalam menasihati anak muda supaya membawa kenderaan secara berhemah. YBrs Puan Mas Tina Abdul Hamid juga bersetuju dengan kesan-kesan yang diterangkan oleh YBhg Prof Madya Ts Dr Basharudin Abdul Hadi dan mengatakan dengan hanya satu (1) kemalangan jalan akan memberikan impak yang berpanjangan.

Selain itu mengikut beliau, penumpang yang duduk di sebelah pemandu juga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi tingkah laku pemandu semasa memandu.  Perbualan dan dorongan yang baik oleh penumpang yang duduk di sebelah atau di dalam kenderaan boleh memberikan kesan yang positif ke atas pemanduan pemandu sepanjang perjalanan.

YBhg Prof Madya Ts Dr Basharudin Abdul Hadi, Pensyarah Kanan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyeru agar ibu bapa memainkan peranan dalam menasihati anak muda supaya membawa kenderaan secara berhemah.

 

Sesi ‘VTAREC FB Live’ mengalu-alukan soalan daripada para penonton, di mana ahli panel mengambil soalan daripada ruangan komen. Soalan pertama diajukan kepada YBhg Prof Madya Ts Dr Basharudin Abdul Hadi berkenaan mesej utama yang perlu diketengahkan untuk meningkatkan kesedaran tentang keselamatan jalan raya. Beliau menyatakan bahawa bukan hanya Universiti Teknologi MARA (UiTM), Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), dan Vehicle Theft and Accident Reduction Council of Malaysia (VTAREC) sahaja yang memainkan peranan dalam menyampaikan mesej ini. Malah, beliau mencadangkan agar golongan agamawan turut membantu dengan memasukkan unsur keselamatan diri dalam ceramah agama, sama ada sebelum atau selepas sembahyang diadakan.

Soalan kedua daripada ruangan komen bertanyakan apakah perbezaan tahap kesedaran antara belia yang tinggal di bandar dan di luar bandar, menurut pendapat pihak Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ). YBrs Tuan Norazman Nordin, Ketua Penolong Pegawai Penguatkuasa Kanan (Dasar), Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), menjawab bahawa pendedahan melalui media sosial adalah salah satu sumber informasi yang lebih mudah didapati untuk belia yang tinggal di kawasan bandar. Walau bagaimanapun, bagi golongan belia yang tinggal di kawasan luar bandar, ibu bapa hendaklah memainkan peranan penting dengan memastikan golongan belia mempunyai keperluan asas seperti lesen memandu yang sah untuk mengelakkan kemalangan jalan raya. Ini kerana individu yang memiliki lesen memandu yang sah lebih memahami peraturan jalan raya, seperti kewajipan memakai topi keledar. Tambahan pula, golongan belia yang tidak memiliki lesen memandu sering kali terlibat dalam kesalahan nyata yang berangkai, seperti tidak memiliki lesen kenderaan dan tiada perlindungan insurans.

Soalan ketiga diambil dari ruangan komen adalah pandangan bahawa lebih ramai pihak yang berusaha membawa kebaikan kepada pengguna jalan raya sudah tentunya akan memberikan impak yang lebih baik. Vehicle Theft and Accident Reduction Council of Malaysia (VTAREC) sebagai sebuah majlis diminta untuk perlu menekankan isu ini kepada pihak kerajaan untuk mewujudkan lebih banyak jalan khusus untuk motosikal. YBrs Puan Mas Tina Abdul Hamid dalam jawapannya memaklumkan bahawa setiap kenderaan ringan wajar diasingkan dari kenderaan berat termasuk motokar dan kenderaan komersial dengan mewujudkan lebih banyak bilangan laluan sikal memandangkan jumlah motorsikal di negara kita adalah tinggi. Kenderaan ringan apabila berkongsi jalan dengan kenderaan berat akan terdedah kepada risiko kemalangan jalan raya yang tinggi. Beliau turut menyatakan bahawa beliau percaya pihak kerajaan ambil peduli berhubung perkara ini dan berharap agar kerajaan menambah lebih banyak jalan khusus atau laluan sikal untuk kenderaan ringan seperti motosikal dan basikal.

Soalan seterusnya diajukan kepada pihak JPJ mengenai strategi paling berkesan yang dirasakan oleh pihak JPJ untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memiliki lesen kenderaan dan insurans dalam kalangan belia berusia 16 hingga 35 tahun. YBrs Tuan Norazman Nordin menerangkan bahawa Bahagian Keselamatan Jalan Raya (BKJR) dari JPJ telah mengadvokasikan keperluan lesen memandu kenderaan melalui penguatkuasaan dan usaha kesedaran. Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan juga bekerjasama untuk meminimumkan kos pembelajaran lesen motosikal, memandangkan golongan B40 menggunakan motosikal sebagai kenderaan asas untuk menjalankan aktiviti harian mereka.

Soalan terakhir daripada peserta berkaitan bagaimana pensyarah melihat peranan teknologi dalam mempengaruhi kesedaran dan tingkah laku pengguna jalan raya, seperti penggunaan ‘dashcam, ‘speed camera’ atau ‘dron’. YBhg Prof Madya Ts Dr Basharudin Abdul Hadi menjelaskan bahawa ‘dashcam’ merupakan alat yang baik untuk mengkaji semula tingkah laku pemanduan kita di jalan raya, manakala ‘speed camera’ digunakan untuk memantau pemandu yang memandu melebihi had laju yang ditetapkan. Selain itu, ‘dron’ boleh dijadikan bahan bukti yang kukuh untuk membuktikan kecuaian pemandu.

Sesi ‘VTAREC FB Live’ dengan tema “Kemalangan Jalan Raya Risiko Usia 16-35 Tahun” ini disempurnakan dengan ucapan ringkas daripada YBrs Puan Mas Tina Abdul Hamid, Ko-ordinator VTAREC yang menyeru agar semua pengguna jalan raya menjadi pemandu yang berhemah sentiasa terutama semasa Perayaan Tahun Baru Cina bagi mengelakkan kemalangan jalan raya.

Akhir sekali, YBrs Puan Mas Tina Abdul Hamid mengucapkan terima kasih kepada ahli panel yang sudi mengambil bahagian dalam ‘VTAREC FB Live’.

YBrs Puan Mas Tina Abdul Hamid diiringi Puan Farra Hayani Mohd Tarmizi menyampaikan cenderahati kepada YBrs Tuan Norazman Nordin, Ketua Penolong Pegawai Penguatkuasa Kanan (Dasar), Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ).

YBrs Puan Mas Tina Abdul Hamid diiringi Puan Farra Hayani Mohd menyampaikan cenderahati kepada YBhg Prof Madya Ts Dr Basharudin Abdul Hadi, Pensyarah Kanan, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Belakang: YBrs Tuan Azmi Azizi, Encik Aniq Denial, Puan Farra Hayani Mohd Tarmizi, Puan Farrah Jasmin Jamil, Puan Izzah Mohamad, Puan Aisha Fahmy

Depan: YBrs Tuan Norazman Nordin, YBrs Puan Mas Tina Abdul Hamid, YBhg Prof Madya Ts Dr Basharudin Abdul Hadi.